#1

PAS kutuk rampasan kuasa Mesir

>> Khamis, Julai 04, 2013

PAS kutuk rampasan kuasa terhadap presiden Morsi

Salmiyah Harun, 04 Jul 2013

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa oleh tentera Mesir terhadap kepimpinan Presiden Dr Mohamed Morsi kerana telah mengenepikan suara rakyat negara itu melalui undi pilihan raya yang adil dan bersih.

Timbalan Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Dr Syed Azman Nawawi berkata, apa yang terjadi di Mesir sekaligus memberi gambaran negatif bahawa wujud usaha untuk membunuh pendemokrasian yang berlaku di seluruh dunia.

PAS turut menggesa tentera negara itu kembali kepada kedudukan asal mereka dan menyerah kembali kuasa kepada kerajaan Mohamed Morsi yang dipilih oleh rakyat.

Syed Azman juga percaya apa yang berlaku di Mesir adalah merupakan satu rampasan kuasa yang mendapat sokongan kuasa besar dunia.

Katanya, apabila melihat polisi kerajaan dan Presiden Mesir yang tidak menguntungkan pihak kuasa besar maka mereka kembalikan negara itu kepada tentera dengan mengenepikan kuasa rakyat.

"Ini merupakan penghinaan kepada keputusan rakyat yang memilih kerajaan yang sah melalui pilihan raya bersih.

"Tiba-tiba boleh bagi sokongan rampasan kuasa oleh tentera kerajaan yang sah melalui demokrasi," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mendapat gambaran keadaan di Mesir selepas menghubungi salah seorang pimpinan Ikhwan Muslimin iaitu Dr Essam Arian kelmarin sebelum di tangkap.

"Saya difahamkan beliau sudah ditangkap hari ini. Saya dapat hubungi beliau kelmarin untuk mengetahui bagaimana keadaan disana," jelasnya.

Pilihan raya Presiden Mesir tahun lepas telah mendapat pengiktirafan seluruh dunia yang memperlihatkan sebuah pilihan raya yang paling telus dan adil.

Ketua angkatan tentera mengeluarkan satu deklarasi petang semalam, menggantung perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara.

Dalam siaran televisyen tempatan, pemimpin tentera dan tokoh politik, Andel Fattah al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi.

Penyokong Morsi yang berkumpul di pinggir bandar Kaherah sangat tidak puas hati dan penyingkiran pemimpin negara Mesir ini membangkitkan kemarahan mereka dengan pengumuman yang dibuat oleh tentera itu.

Menurut anggota kanan Ikhwan Muslimin, Morsi kini berada di bawah tahanan tentera.

Dua tahun lalu, di Tahrir terdapat perayaan hampir sama selepas Hosni Mubarak ditumbangkan dan Morsi diangkat sebagai presiden pertama dipilih rakyat.

0 komen:

Catat Ulasan

Pandangan anda mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah dan berilmu.

Arkib Blog

Biodata

Foto saya
Pembimbing Madrasah Kuliah Dhuha Malaysia yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Pendokong SAR Perak(PPSR) dan Teras Pengupayaan Melayu Cawangan Perak. Berkelulusan Sarjanamuda Sains dan Pendidikan (Pengajian Islam) UTM

Teman Seperjuangan

Teman Seperjuangan

  © Blog Ustaz Wan Ahmad Tarmizi telah direalisasikan pada 19 Feb 2010 © All Rights Reserved 2010

Back to TOP