Sultan Selangor perkenan Khalid kekal, pertimbang sertai PAS TAN Sri Abdul Khalid Ibrahim sebentar tadi mengumumkan beliau masih Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa. Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri pada sidang media di pejabatnya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pertemuan beliau dengannya di Istana Alam Shah, Klang pagi tadi. - Foto Aizuddin Saad
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebentar tadi mengumumkan beliau masih Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri dalam satu sidang media di pejabatnya di sini selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pertemuan beliau dengannya di Istana Alam Shah, Klang pagi tadi.
Dalam pertemuan itu juga, beliau juga memaklumkan masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang akan mengadakan pertemuan dengan semua EXCO terutama dari DAP dan PKR untuk bertanyakan sokongan mereka terhadapnya, esok, selain memaklumkam 4 EXCO PAS sebelum ini sudah membuat ketetapan menyokong beliau.

Abdul Khalid pagi tadi juga menghadiri mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor yang berlangsung lebih dua jam.

Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor mencapai tahap kronik selepas PKR mengumumkan mahu menggugurkan Abdul Khalid dan diganti dengan Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Cadangan itu mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi parti DAP dan PKR, namun PAS mengambil pendirian berbeza, mahu Abdul Khalid dikekalkan.
Kelmarin, Abdul Khalid dipecat keahliannya dalam PKR oleh Lembaga Disiplin parti itu.

Beliau berkata, kerajaan Selangor boleh berfungsi dengan empat EXCO dari Pas yang menyokong dirinya tanpa wakil DAP dan PKR.

Katanya, peraturan di negeri Selangor membenarkan minumum empat EXCO dan maksimum 10 orang dilantik untuk mentadbir kerajaan neger itu.

Selain itu, Khalid turut mempertimbang untuk menyertai PAS namun perlu diteliti sebelum keputusan muktamad dibuat.

"Perkara itu (masuk PAS) akan dipertimbangkan tapi saya kena bersihkan terlebih dahulu segala tohmahan buruk yang dilemparkan PKR," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, sebentar tadi.