Parlimen tolak usul
KUALA
LUMPUR: Usul bagi membincangkan pendirian Malaysia terhadap rampasan
kuasa dan pergolakan di Mesir yang berlarutan sehingga hari ini, ditolak
oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Usul tersebut, dikemukakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1).
Ketika membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Mahfuz yang
juga Naib Presiden PAS mempersoal alasan penolakan yang diberikan kerana
didakwa meminta penerangan tentang negara asing dan bercanggah dengan
Peraturan Mesyuarat 23 (1) (i).
Menjelas lanjut pada sidang media selepas itu, Mahfuz mendakwa, alasan
penolakan yang diberikan speaker tidak tepat kerana beliau bukan meminta
penerangan tentang negara Timur Tengah itu.
Menurutnya, usul
tersebut hanya mahu meminta pendirian kerajaan atas nama dewan bahawa
dewan perlu membuat pendirian tegas atas apa yang berlaku di Mesir.
"Saya agak tidak setuju dengan speaker menggunakan alasan ini untuk katakan kita tidak boleh sentuh negara luar.
"Sebelum ini kerajaan pernah bentang usul berhubung krisis di Iraq dan
Afghanistan, kita sentuh prinsip asas yang disepakati antarabangsa dan
ini harus difahami kerajaan," katanya pada sidang media di lobi parlimen
hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, semua maklum bahawa
rampasan kuasa yang berlaku di Mesir adalah didalangi kuasa besar
termasuk Amerika Syarikat dan sekutunya Zionis Israel.
Ini
kerana katanya, presiden yang dipilih secara sah, Dr Muhammad Morsi
telah memberi nafas baru kepada rakyat Palestin di Gaza melalui pintu
Rafah yang dibuka setelah ditutup sekian lama ketika zaman Hosni
Mubarak.
Kengganan kerajaan Malaysia menyatakan pendirian
terhadap rampasan kuasa oleh tentera Mesir katanya, akan dilihat seperti
menyokong tindakan kudeta tersebut.
Dalam pada itu, Mahfuz
tidak menolak kemungkinan, penolakan usul tersebut ada kaitan dengan
kedatangan Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia pada Oktober ini.
"Kami daripada PAS bawa usul ini untuk parlimen buat sidang khas tetapi kerajaan tak mahu bawa.
"Saya percaya (penolakan) ini bukan kehendak speaker, tetapi sebab Obama yang akan datang ke negara ini," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pandangan anda mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah dan berilmu.